RAHSIA DARI AL-QURAN BAGAIMANA MENJADI JUTAWAN
Mahmud Ibn Labid r.a. berkata bahawa beliau
pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Dua perkara yang tidak
disenangi oleh anak Adam. Mati, padahal mati itu adalah lebih baik dari
dugaan (kesesatan). Harta yang sedikit, padahal harta yang sedikit
meringankan hisab.”
Namun jika anda ingin menjadi seorang
jutawan, Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah An-Nuur ayat 37
hingga 38: “(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat
imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada
menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi
zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati
dan pandangan.”“(Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah
membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka
kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurniaNya; dan
sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya
dengan tidak terhitung.”
Maksudnya, dengan sentiasa mengingati
Allah, mendirikan solat, memberi zakat serta sedekah, takutkan hari
kiamat kerana akan diadili, seseorang itu akan mendapat limpah kurnia
dan balasan yang paling baik dari Allah. Sesungguhnya Allah pemberi
segala rezeki dan Dia akan menambahkan kurniaNya kepada hamba yang
mempunyai ciri-ciri seperti di atas.Kajilah Al-Quran dengan
sebenarnya-benarnya, kerana panduan untuk menjadi jutawan banyak
terdapat di dalam Al-Quran. Bacalah tafsir Al-Quran yang harganya
anggaran RM20 di pasaran.
Menurut Abu Said r.a., Allah berfirman di
dalam sebuah hadith qudsi, “Sesiapa yang disibukkan oleh Al-Quran
daripada berzikir dan meminta kepadaKu, maka Aku akan memberikan
kepadanya sesuatu yang lebih utama daripada diberikan kepada orang yang
meminta kepadaKu” Sekiranya anda bukan berniat untuk menjadi
jutawan, tetapi ingin gaya hidup sederhana, selesa, tidak mahu mempunyai
bebanan hutang dan dikurniakan kecukupan dalam semua perkara, amalkan
membaca Surah Al-Waqiah setiap malam.
Menurut Ibnu Mas’ud, Rasulullah
s.a.w telah bersabda, “Sesiapa yang membaca surah Al-Waqiah pada setiap
malam, ia tidak akan ditimpa kemiskinan selama-lamanya.”Sekiranya
anda sekarang berada di dalam keadaan terdesak, ditimpa kesusahan,
memerlukan wang segera untuk sesuatu perkara mustahak, maka ikutlah
petua Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadith yang diriwayat oleh
Huzaifah r.a., apabila Rasulullah s.a.w mengalami kesulitan, beliau akan
segera mengerjakan solat sunat. Ini adalah selaras dengan firman Allah
di dalam surah Al-Baqarah ayat 45, “Dan mintalah pertolongan (kepada
Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat
itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”.
Di
dalam riwayat lain diceritakan oleh Abdullah bin Salam r.a., ketika
keluarga Rasulullah menghadapi sebarang kesempitan rezeki, beliau akan
memerintahkan mereka mendirikan solat dan membaca ayat 132 surah Taha.
Firman Allah di dalam ayat berkenaan, “Dan perintahkanlah keluargamu
serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar
menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah
yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah
bagi orang-orang yang bertaqwa.”
Kebanyakkan yang mengamalkan
tips ini mendapat kemurahan rezeki yang luas dan bersederhana. Mereka
tidak kelam kabut dan tergesa-gesa dalam mengejar kesenangan.
Kebanyakkan mereka akhirnya menjadi komited dalam beribadat atau
melakukan aktiviti dakwah. Mereka hanya melakukan sedikit pekerjaan
dunia, namun kurnia yang diperolehi melebihi apa yang mereka kerjakan.
Wallahu’alam.
0 comments:
Post a Comment